Keluarga Azmin Ali Berantakan Gara-Gara Rasuah Pasir
16:12 Dec 01, 2017  |  By
Keluarga Azmin Ali Berantakan Gara-Gara Rasuah Pasir

Skandal pasir dan pengeluaran batu secara haram di Selangor telah lama diperkatakan. Walaupun ianya bermula pada zaman Khalid Ibrahim, namun keadaan semakin tidak terkawal ketika pentadbiran Selangor diambilalih oleh Azmin Ali. Perlantikan Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Tempatan PBT di seluruh Selangor, membuktikan Azmin Ali sebenarnya tidak berkeupayaan untuk menjaga negeri, malah menjadikan Selangor sebagai lubuk untuk dia menimbunkan kekayaan peribadi. 

Laporan Ketua Audit Negara saban tahun bermula dari tahun 2014 sehingga yang terkini membuktikan pelbagai skandal kewangan telah diwujudkan untuk mencuri dan merompak wang rakyat Selangor. 

Kerajaan Negeri Selangor difahamkan mengalami kerugian berjuta-juta ringgit setiap tahun ekoran tindakan agresif sebuah syarikat perlombongan yang beroperasi secara haram untuk membawa keluar pasir dan batu secara haram di Kajang semenjak 2014.

Syarikat perlombongan di mana anak saudara Azmin, Nuzul Fazli Mohd Noriyualsaid adalah pemungut bagi pihak Azmin Ali, telah beroperasi secara berleluasa tanpa sebarang pengawasan dan sekatan oleh mana-mana pihak berkuasa dengan mengaut keuntungan besar. 

Pengarah Syarikat tersebut dikatakan memiliki keseluruhan kawasan perlombongan itu dan SPRM telah menjalankan siasatan dan intipan selama lebih setahun. 

Hasilnya, empat orang individu telah ditahan dan dikenakan reman selama 7 hari bermula 30 November untuk membantu siasatan SPRM. SPRM juga telah membekukan beberapa akaun kewangan syarikat terbabit bernilai lebih RM4 juta yang dipercayai sebahagian daripada keuntungan syarikat itu menjalankan aktiviti perlombongan secara haram di Selangor.

Berita tentang penangkapan Nuzul Fazli disambut oleh dua orang saudara Azmin Ali iaitu Ummi Hafilda dan Azwan Ali. Kedua-dua beradik tersebut mengalu-alukan penangkapan tersebut dan menyatakan kemungkaran yang dilakukan oleh Nuzul Fazli bagi pihak 'Pak Teh'nya iaitu Azmin Ali adalah sesuatu yang amat mengaibkan. 

Ummi Hafilda dalam kenyataannya di Facebook memberitahu, dia mengalu-alukan tindakan SPRM itu. Malah dia sempat memperbetulkan tanggapan seorang penyokong PKR yang menuduh SPRM sengaja menangkap anak saudaranya bagi tujuan memberikan tekanan politik kepada Azmin Ali. Kata Ummi Hafilda, tuduhan tersebut tidak benar kerana SPRM telah mengintip dan menyiasat selama lebih setahun. Penangkapan dibuat setelah terdapat bukti-bukti kukuh. 

Azwan Ali dalam satu kenyataan di Facebook pula berkata, tindakan pihak berkuasa itu sudah lama ditunggu-tunggu. Penyonglapan yang dilakukan oleh Azmin Ali telah mempergunakan Nuzul Fazli sudah terlalu lama berleluasa.

Baru seorang 'anak saudara' yang kena. Difahamkan terdapat beberapa orang anak saudara Azmin Ali yang bakal ditahan oleh SPRM kerana terbabit dan subahat dalam pelbagai skandal kewangan di Selangor.