Antara Kenyataan Dan Igauan: Negeri Selangor Mempunyai Ekonomi Terbesar Bawah Kepimpinan Azmin Ali
13:12 Dec 06, 2017  |  By
Antara Kenyataan Dan Igauan: Negeri Selangor Mempunyai Ekonomi Terbesar Bawah Kepimpinan Azmin Ali

Semenjak negara merdeka, Negeri Selangor telah diterajui oleh Kerajaan BN sehinggalah PRU12. Selama diterajui bawah Kerajaan BN, pelbagai aktiviti pembangunan, ekonomi, perumahan dan kesejahteraan untuk rakyat Selangor telah dirancang, dilaksanakan dan dibangunkan yang telah berjaya menjadikan Selangor muncul sebagai negeri yang terkaya dan mempunyai ekonomi yang besar dan mantap.

Apakah muslihat Azmin mendakwa bahawa Kerajaan Selangor di bawah kepimpinannya atau Pakatan Rakyat telah berjaya menjadikan Selangor sebagai negeri yang mempunyai ekonomi terbesar? Apabila Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan di negeri Selangor selepas PRU12, mereka mewarisi segala kemajuan, kejayaan dan kekuatan ekonomi Selangor di atas keberkatan hasil pembangunan dan keberkesanan kepimpinan Kerajaan BN yang telah memerintah negeri Selangor sebelum PRU12.

Umum telah lama mengetahui bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri telah membuat kenyataan selepas PRU12 betapa Pakatan Rakyat merasa amat terharu diberikan kepercayaan oleh rakyat Selangor untuk membentuk Kerajaan Negeri di mana Selangor merupakan negeri yang paling maju dan mempunyai ekonomi terbesar di negara kita.

Selepas dua penggal menerajui Kerajaan Negeri Selangor, sebutkanlah apakah projek pembangunan atau rancangan pembangunan ekonomi yang baru yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat atau yang diiltizamkan oleh Azmin yang rakyat Selangor mampu banggakan. Ternyata Azmin dan Kerajaan Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan tidak berupaya untuk membawa apa-apa pembangunan baru kepada rakyat Selangor di sepanjang tempoh mereka memerintah.

Apakah Azmin terlalu menaruh harapan bahawa mereka hanya perlu sebarkan retorik bahawa Selangor mempunyai ekonomi terbesar dan rakyat Selangor akan mengambilnya secara buta tuli tanpa mengungkap sejarah semata-mata untuk mengekalkan pemerintahan mereka di Selangor?

Rakyat Selangor tidak buta.