Laporan SPRM Azwan Ali Bantu Tutup Skandal Sungai Yu?
15:12 Dec 27, 2017  |  By
Laporan SPRM Azwan Ali Bantu Tutup Skandal Sungai Yu?

20 Disember lalu, Azwan Ali, pengacara dan personaliti televisyen ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya untuk menyerahkan apa yang didakwanya sebagai fail-fail dokumen bukti penyelewengan, rasuah dan skandal yang membabitkan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai oleh abangnya, Azmin Ali. 

'Drama' membabitkan keluarga Haji Ali ini sebenarnya telah bermula lama, seawal tahun 1997 lagi. Semasa perbicaraan salahguna kuasa dan rasuah serta jenayah liwat Anwar Ibrahim, Azwan dan adiknya, Ummi Hafilda bagaikan selebriti yang datang ke mahkamah untuk mengikuti perjalanan kes. Mereka menjadi tumpuan lensa kamera dan wartawan. Kehadiran mereka ditunggu-tunggu. Malahan, fesyen pakaian yang dikenakan pada hari itu juga menjadi tajuk berita-berita di akhbar-akhbar aliran perdana. 

Pada 2008, sekali lagi keluarga ini menjadi perhatian apabila Ummi Hafilda dijemput sebagai penceramah dalam kempen PRK Kerdau. Pelbagai pendedahan dibuat oleh Ummi Hafilda sehingga akhirnya pendedahan itu sendiri memalukan sebilangan besar orang UMNO kerana terlalu bersifat taboo. Azwan Ali pula pada ketika itu dilihat berbaik-baik dengan abangnya, Azmin Ali. 

Pada peringkat awal konflik antara Dr. Mahathir dan Najib Abdul Razak, Ummi Hafilda dan Azwan Ali berpihak kepada Dr. Mahathir. Bagaimanapun, selepas pelbagai usaha yang dilakukan oleh Dr. Mahathir untuk menggulingkan Najib Abdul Razak menemui kegagalan, kedua-dua beradik tersebut hilang seketika daripada dunia media. 

Namun pada 2 Disember ekoran penahanan salah seorang anak saudara mereka yang bernama Mohd Nuzul Fadli Mohd Noriyualsaid membabitkan kes melombong pasir tanpa lesen di Sungai Long, Kajang sehingga mengakibatkan anak sungai tertimbus dan tersekat, Azwan Ali dalam Twitternya mengucapkan tahniah kepada SPRM dan menganggap apa yang berlaku sebagai satu bentuk keadilan. 

Menerusi posting tersebut, Azwan dilihat sempat 'mencabar' anak saudaranya merayu pertolongan daripada Azmin untuk dibebaskan daripada tahanan SPRM. Dalam pada itu, Azwan juga dilihat tidak terlepas daripada melontarkan kata-kata kesesat di dalam beberapa buah entri yang lain. Azwan menyifatkan penahanan tersebut sebagai balasan Tuhan kepada perbuatan keterlaluan anak saudaranya yang tidak menganggap Azwan sebagai bapa saudara ketika majlis perkahwinan Mohd Nuzul Fadli sebelum itu. 

20 Disember, Azwan Ali telah dipanggil oleh SPRM untuk menyerahkan bukti dan dokumen mengenai penyelewengan, salah laku dan kehidupan mewah melampau yang dikatakan ada kaitan dengan abangnya Menteri Besar Selangor Azmin Ali. Dia kemudiannya menyerahkan sebeban fail dan bukti yang menurutnya telah disimpan sejak awal penglibatannya dalam dunia seni sekitar 30 tahun lampau. 

Beberapa pendedahan membabitkan skandal dan penyelewengan di Selangor telah dibuat oleh pelbagai pihak sebelum ini. Terbaharu adalah isu skandal tanah orang miskin di Sungai Yu yang diselewengkan bagi tujuan memperkukuhkan kuasa dan kedudukan politik, khususnya PKR apabila tanah yang sepatutnya diberikan kepada golongan miskin, diberikan kepada para penyokong PKR.

Selain itu pendedahan tentang transaksi tanah peneroka yang kemudiannya berakhir di tangan pemaju membabitkan syarikat-syarikat seperti LBCN di Ijok dan Bukit Cherakah turut menyaksikan bagaimana wang berkenaan hilang lenyap, manakala para peneroka yang dijanjikan pampasan pula masih menunggu-nunggu sehingga ke hari ini. Syarikat-syarikat yang kononnya menguruskan transaksi itu juga sudah tidak wujud lagi. Malahan, orang seperti Khairuddin Abu Hasan cuba menafikan pembabitannya terhadap apa-apa sahaja yang cuba mengaitkannya dalam transaksi yang amat mengelirukan itu. 

Begitu juga dengan skandal PKNS dan Yayasan Selangor yang menyaksikan kedua-dua entiti tersebut telah digunakan sebagai lembu pawah oleh Azmin Ali untuk sumber kewangan PKR, khususnya di Selangor. 

Apakah di dalam fail tebal yang dibawa oleh Azwan Ali ke SPRM pada 20 Disember lalu, turut mengandungi fail-fail skandal dan penyelewengan seperti yang disebutkan? Atau sebenarnya fail tebal itu hanyalah satu lagi drama dalam usaha menyelamatkan Azmin Ali yang semakin cemas kerana jentera propaganda dan sibertrupernya gagal menangkis serangan dan pendedahan yang dibuat oleh pelbagai pihak?