Azmin kecam AMANAH kerana menipu
17:02 Feb 02, 2018  |  By
Azmin kecam AMANAH kerana menipu

Azmin Ali seperti yang diketahui terdesak untuk mengekalkan hierarkinya ekoran tekanan semakin kuat dari dalam PKR dan Pakatan untuk penyingkirannya ekoran pelbagai pendedahan tentang penyelewengan, skandal serta rasuah yang turut melibatkan kaum keluarganya. Walaupun bekas rakan kongsinya, Ezam Mohd Nor cuba meredakan tekanan tersebut dengan mengeluarkan kenyataan kononnya, Azmin Ali dicemburui kerana kehebatannya lantas membuatkan Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Besar Selangor itu diserang bertubi-tubi, namun hakikatnya ketamakan dan kegelojohan Azmin Ali adalah punca utama. 

Semua pihak sependapat yang Azmin Ali adalah seorang pelakon yang sanggup berlakon sebagai alim, termasuklah bergambar kononnya sangat menyayangi arwah ibunya, walaupun hakikatnya, tidak peduli pun dengan ibunya sewaktu ibunya sedang uzur. Dia hanya datang bersama-sama keluarganya untuk publisiti dirinya dan kemudian berlakon di hadapan kamera bagi mewujudkan tanggapan dia seorang anak yang baik. 

Hakikatnya, Azmin Ali adalah Si Tanggang Zaman Moden yang sanggup berbuat apa-apa sahaja demi kuasa, kemewahan dan kedudukan.

3 hari lepas, AMANAH Selangor menyatakan tidak berpuas hati berhubung pembahagian kerusi DUN yang akan ditandingi oleh parti-parti yang berada di dalam Pakatan Harapan. Menurut Hatta Ramli, jawatankuasa khas bagi meneliti pembahagian kerusi antara semua parti komponen Pakatan Harapan di Selangor belum diwujudkan. Justeru, berlaku kegagalan Pakatan Harapan Selangor memuktamadkan peruntukan kerusi di Selangor. 

Menurut Mahathir yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan dan calon Perdana Menteri PH, mereka meletakkan kepercayaan kepada jawatankuasa pilihanraya sedangkan sepatutnya jawatankuasa khas.

Si Tanggang bernama Azmin Ali berang apabila dikatakan pembahagian kerusi belum muktamad. Dia kemudiannya menyelar AMANAH dan menyifatkan parti serpihan PAS itu sebagai 'pembohong' kerana mengatakan jawatankuasa rundingan kerusi untuk negeri itu belum dibentuk lagi. Sedangkan katanya, jawatankuasa itu telah bertemu sebanyak empat kali dan 80% kerusi telah diputuskan. 

"AMANAH berbohong... AMANAH tidak mengatakan yang benar, AMANAH tidak amanah. Bolehkah AMANAH sekurang-kurangnya bagitahu orang ramai perkara yang sebenarnya? Kita telah bertemu sebanyak empat kali," katanya selepas merasmikan sebuah masjid baru di Taman Tun Reja, Rawang, tengah hari 2 Februari 2018.

Kata Azmin Ali lagi, mereka telah bertemu sebanyak empat kali untuk berbincang bukan sahaja tentang pembahagian kerusi tetapi isu-isu lain yang berkaitan dengan PRU-14. Bagaimanapun, belum ada kata putus dan persetujuan dicapai di kalangan keempat-empat parti.

Namun Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim menyanggah Azmin Ali. Sebaliknya dia menyifatkan dan melabelkan Azmin Ali sebagai 'pelawak' kerana menuduh AMANAH berbohong berhubung pembahagian kerusi di negeri itu. 

"Mengarut! Dia seorang pelawak. Bila pula kita membincangkan tentang kerusi-kerusi? PKR saja yang membincangkan tentang kerusi, sedangkan tak ada sesiapa yang berbincang dengan mereka. Sebab itu adalah mesyuarat (persediaan) pilihanraya, kita tidak membincangkan tentang kerusi-kerusi," kata Izham. 

Kata-kata Izham Hashim turut disokong oleh Tony Pua, Ketua DAP Selangor yang mengatakan dia juga tidak tahu tentang 80% kerusi yang telah dirundingkan kerana DAP Selangor tidak pernah ditanya.